Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dipertanggungjawabkan untuk membangunkan produk madu kelulut melalui pelbagai peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Antara aktiviti penyelidikannya adalah pemilihan madu terpilih yang tinggi khasiat antioksidan, pembangunan teknologi pemprosesan, pembangunan seperti propolis dan ‘bee bread’.
“Superfood ini akan mengikut piawaian yang ditetapkan, ia memang akan mengambil masa tetapi kita yakin ia juga setanding dengan madu-madu keluaran peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran kempen ‘Mulakan Hari Anda Dengan Madu’ di sini hari ini.
Majlis pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut merasmikan ‘Kelulut Walk 2016’.
Ahmad Shabery berkata, produk superfood madu kelulut itu juga akan melalui ujian keselamatan dan keberkesanan, antaranya, ujian terhadap tahap hemoglobin dan ujian penurunan kadar gula dan kolesterol dalam darah.
Beliau berkata, negara-negara hutan tropika seperti Malaysia sememangnya beruntung apabila memiliki lebah kelulut kerana hasil daripada ternakan lebah tersebut akan memberi kelebihan daripada banyak aspek.
Dalam hubungan ini, katanya, kementerian menyasarkan dalam tempoh lima tahun lagi negara akan menghasilkan dua kali ganda lebih banyak berbanding 120,000 kilogram madu diproses yang dihasilkan untuk tempoh setahun pada waktu ini.
"Sekarang kita dapat hasilkan sebanyak 120,000 kilogram daripada 60,000 sarang yang diternak oleh 1,200 penternak setahun. Kita harapkan jumlah hasil madu itu meningkat sejajar dengan peningkatan jumlah penternak pada masa depan," katanya.
Lebah kelulut adalah leb­ah ti­ dak bersengat, berasal da­­ri­pa­da keluarga Apidae dan berupaya meng­hasilkan madu, propolis dan roti lebah. Ia mempunyai struktur sarang yang berbeza daripada lebah madu.